Bahasa

/

Berita Staf

Pensyarah PUO menang cipta tema Hari Inovasi

IPOH 17 Jan. - Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini mencatat kejayaan membanggakan apabila hasil rekaan pensyarahnya terpilih memenangi tempat pertama dalam pertandingan mencipta tema Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak baru-baru ini.

Pertandingan melibatkan 121 penyertaan itu diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Pensyarah Senibina, Jabatan Kejuruteraan Awam PUO, Ahmad Sid Hijaz Md. Said dipilih sebagai pemenang selepas tema ciptaannya, Budaya Inovasi Berjaya Aspirasi menarik perhatian jawatankuasa penilai pertandingan.

Dalam pertandingan itu, Ahmad Sid Hijaz berjaya menewaskan 227 slogan bertemakan inovasi yang dikemukakan peserta lain.

Ahmad Sid Hijaz ketika ditemui berkata, tema yang diciptanya itu membawa maksud membudayakan inovasi di dalam setiap lapangan, agar aspirasi pemodenan negara dan kesepaduan bangsa 1Malaysia berjaya dilaksanakan.

"Idea ini tercetus sewaktu melihat poster Aspirasi 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak ditampal di dewan kuliah dan sekitar kampus," katanya.

Menurutnya, pertandingan tersebut menuntut peserta supaya memfokuskan penggunaan perkataan `inovasi` dan isu-isu semasa Perkhidmatan Awam.

Panel Penilai Jawatankuasa Kecil Pertandingan telah ditubuhkan bagi memilih pemenang manakala 10 ciptaan tema terbaik menerima hadiah sagu hati.