Bahasa

/

Berita Staf

Pasukan FM6 juara KIK 2011

BUKIT MERTAJAM 28 Jun – Projek sistem maklumat pelajar bersepadu yang dibangunkan oleh pasukan FM6 dari Politeknik Seberang Perai (PSP) muncul juara Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Politeknik Malaysia baru-baru ini.

Bertajuk i2P atau iPelajar dan iPensyarah, projek tersebut dibentuk secara maya bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat keperluan mereka seperti surat tamat pengajian, keputusan peperiksaan, transkrip dan pendaftaran pelajar senior.

Menurut ketua kumpulan FM6, Irdawati Ishak, i2P juga digunakan semasa pendaftaran pelajar baru dan maklumat konvokesyen yang boleh didapati secara dalam talian.

“Kemudahan ini juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka sepanjang belajar di PSP selain menyelaras aktiviti kemasukan serta pendaftaran kursus.

“Projek ini mengambil masa selama setahun 10 bulan untuk disiapkan dan kami seramai lapan orang bersyukur ia turut dipilih sebagai projek Terbaik KIK 2011 ini,” katanya selepas majlis penutup program KIK 2011, di sini, baru-baru ini.

Majlis penutup konvensyen itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof.FM6 menewaskan 19 pasukan lain dan membawa pulang wang tunai RM500, sijil serta piala pusingan.

Selain PSP sebagai tuan rumah, lapan lagi politeknik yang mengambil bahagian adalah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut menyertai Politeknik Tuanku Syed Sirajudin, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah dan Politeknik Merlimau Melaka.

--Utusan Malaysia--