Bahasa

/

Berita Staf

80 kakitangan Politeknik Port Dickson hadiri kursus motivasi

TELUK KEMANG 11 Jan. - Seramai 80 orang kakitangan sokongan akademik dari Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan dan Kelab Pentadbiran Politeknik Port Dickson dekat sini diberi peluang mengikuti Kursus Motivasi dan 'team building' yang berlangsung di Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor, Perak, baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Sabarudin Yeop Hamza berkata, kursus itu diadakan selama tiga hari dan bertujuan meningkatkan mutu kerja di kalangan mereka serta kesedaran dalam semangat kerja berpasukan.

''Ia sekali gus dapat memberi peluang kepada kakitangan pentadbiran keluar daripada rutin kerja seharian selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Sabarudin, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kursus itu termasuklah ceramah bertajuk Kepentingan kerja berpasukan, serta sesi motivasi bertajuk Mengenal dan muhasabah Diri.

''Peserta juga dibahagikan kepada empat kumpulan dalam menjalankan aktiviti luar yang disediakan oleh pihak resort.

''Empat permainan itu dinamakan Tarantula, Fast Ball, Traffic Jam dan Blind Por. Kesemua permainan ini memerlukan kerja berpasukan yang tinggi," katanya.

Kata Sabarudin, program yang julung kali diadakan ini mendapat maklum balas yang amat baik daripada para peserta.

''Apa yang lebih membanggakan kakitangan juga mengharapkan agar kursus seumpama ini akan sentiasa diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Tambah beliau, kursus yang diadakan itu diharapkan dapat melicinkan kerja-kerja dalam membantu tugas pensyarah di Politeknik Port Dickson ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Port Dickson, Charim Ibrahim dan penutup dilakukan Pengarahnya, Mejar (K) Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim.-- Utusan Malaysia